My Hero~
Bismillah wal Alhamdulillah atas
segala nikmat kehidupan dan keagamaan pada hari ini. Jiwa masih lagi mencari
sinar Nur Illahi yang sentiasa bersinar bak matahari di kaki gunung. Pencarian
yang pasti tiada penghujung waktu. Pastinya ajal adalah penamat mutlak dalam
pencarian itu.
Kata orang, hidup kita ini ada pasang surutnya. Ada waktu kita sangat
gembira –ketawa sehingga mengalirkan air mata. Namun pasangan ironi gembira,
yakni sedih pasti datang mencari kita tanpa diminta. Tanpa hadirnya kesedihan
mana mungkin kita menghargai kebahagiaan. Kesedihan mengajar kita erti sebuah
bahagia. Maka, hargailah dua ‘rasa’ yang telah menjadi fitrah seorang insan-
sedih dan gembira.
Sunnguh aku benci akan perpisahan kerana ia membuatkan jiwa pedih.
Pernah sekali aku menuturkan kata ini pada temanku “ Jika begini sakitnya
perpisahan, aku rela kita tak dipertemukan”. Namun siapa kita untuk menghalang
pertemuan. Ia sudah diatur rapi dalam perancangan Illahi. Nekad ini aku mula
belajar untuk menerima erti perpisahan yang sebenar.
Pagi ini ingatan aku tertacap pada wajah seorang lelaki yang aku gelar ‘
My Hero’. Aku memaanggilnya ‘abah’. Abd Mutalib bin Mohd Noor. 11 tahun -sekejap
masa yang dipinjamkan Allah kepada aku, lelaki yang pertama dikenali dalam
hidup seorang gadis. Sekejap masa untuk bermanja sebagai anak dan ayah. Namun
masih melekat kenangan-kenangan indah antara kami. Abah.
Teman, bagaimana mahu aku ceritakan perihalnya? Abah orangnya
sedang-sedang sahaja, tidak terlalu tinggi, kulitnya hitam manis, berkumis
tipis, berjanggut lebat. Namun abah agak pendiam dan tidak banyak mulut.
Makanan kegemaran abah mesti masakan mama-telahku sahaja. Abah bekerja sebagai
pembantu perubatan (Medical Assistant) di Hospital Besar Ipoh. Bab keperibadian
abah paling aku kagum. Awal pagi sebelum subuh abah sudah bangkit dari kamar
tidur untuk bersiap-siap untuk solat subuh berjemaah di surau. Jarang sekali
abah mengelat daripada solat berjemaah. Masih aku ingat bunyi motor engin motor
yang menderum pada awal pagi. Pulang dari surau , pasti abah akan mengaji
Al-quran di bilik tingkat atas rumah teres kami.
Dari 8 pagi hingga 5 petang abah bekerja. Pulang ke rumah jam 6 petang.
Tanpa diminta, mama pasti sediakan minuman petang buat abah. Usai berehat
sebentar di waktu petang, apabila azan maghrib mula dilaungkan, abah sudah
bersiap-siap ke surau. Istiqamah sungguh abah dengan solat jemaah. Senggang
waktu antara maghrib dan isyak abah akan pulang ke rumah untuk mengajar aku dan
kakak mengaji Alquran. Malah inilah juga tanggungjawab seorang ayah pada
keluarga berikan pendidikan agama yang secukupnya. Ada kala sehingga jam 10
abah baru pulang kerana katanya ada usrah bersama jemaah di surau.
Pengalaman inilah yang pasti aku
tak lupakan. Abah sangat garang tentang perihal tajwid. Pernah dulu aku dicubit
di paha kerana salah di tempat yang sama berulang kali. Setiap kali dicubit,
air mata yang ditakung tak dapat disekat lagi. Aku akan menunduk tanpa melihat
wajah abah. Itu isyarat aku sedang merajuk. Sesekali air mata terus tumpah di
atas helaian Al quran. Waktu itu, abah tahu aku sudah mula menangis. Namun, tak
pernah sekalipun abah akan memujuk aku kembali. Ini prinsip abah dalam mendidik
anak-anak. Ajari mereka tentang apa yang salah, agar kelak tidak berlaku
kesalahan yang sama.
Dalam ketegasan abah ,kelembutan dan kasih-sayang itu melebihi
segalanya. Aku antara yang paling kerap mengikut abah ke tempat kerja di Hospital
Ipoh. Kawan kawan abah kebanyakan mengenali aku. “Oh, anak encik Mutalib ke.
Padanla mukanya sama”. Saat itu pasti aku tersipu-sipu malu apabila disapa
orang. Budak naïf la katakan. Di hospital abah bekerja di Jabatan Pediatrik-
wad kanak-kanak. Rata-rata dalam kalangan pesakit di situ masih lagi bayi. Bayi
tersebut diletakkan di dalam bekas empat segi yang dipanggil incubator. Waa]yar-wayar
berselirat di badan mereka kerana ada yang dilahirkan sebagai bayi pra matang,
ada yang mengalami masalah jantung dan sebagainya. Sungguh sedih melihatkan
bayi bayi yang terlantar di situ.
Kembali bercerita tentang abah. Abah seorang suami yang sangat ringan
tulang menolong mama di rumah. Masih aku ingat, sempena ‘Hari Ibu’ abah
menjahit sarung bantal khas buat mama yang diatasnya terdapat tulisan dan
kata-kata buat mama. Kreatif sungguh abah. Ada ketika kami mahu menukar langsir
rumah yang baru. Seperti biasa, mama akan menjahitnya sendiri. Tetapi disebabkan
kesibukan memasak dan mengemas rumah, agenda menjahit langsir tertunggak separuh
jalan. Tanpa disuruh, abahlah yang akan menyudahkan kerja-kerja yang berbaki.
Hasil jahitan abah sangat kemas umpama hasil jahitan orang perempuan. Itulah
abah.
Tahun ini genap 10 tahun abah pergi meninggalkan kami. Tiada lagi suara
garau yang menggerakkan aku dan adik adik tika bangun pagi, tiada lagi bunyi
deruan engin motorsikal setiap hari, tiada lagi tangan kasar yang bisa
menyalami setiap pagi sebelum berangkat ke sekolah, tiada lagi suara yang
memesan “kak ngah, belajar rajin-rajin ya” ,tiada lagi usikan manja yang selalu
aku terima, tiada dakapan erat di pagi hari raya, tiada lagi cubitan akibat
salah tajwid tika mengaji Al-Quran, tiada lagi soalan “dah solat ke?”, tiada
lagi teman saat membasuh karpet di halaman rumah, tiada lagi teman tika
menonton cerita Hindustan pada waktu petang, tiada lagi teman tika naik
motorsikal bersama ke kedai roti canai, tiada lagi naskah surat khabar Harakah
yang dibawa pulang, tiada lagi, tiada lagi dan tiada lagi.
Semuanya hanya tinggal kenangan yang sentiasa terus segar di kotak
memori. Aku selalu terbayang abah hanya tersenyum dari kejauhan memandang aku
dengan penuh rasa bahagia. Sangat bahagia katanya dia berbangga kerana aku membesar
menjadi anak yang membahagiakan mama, dan selalu mendoakan kesejahteraannya
buatnya. Saat aku sedih, juga aku membayangkan abah berada disisi sambil
menepuk bahuku dan berkata “Kak ngah kuat kan? Abah tau anak abah sangat tabah.
Kuatkan hati anakku. Usah terlalu rindu, kelak nanti kita akan jumpa kembali di
syurga yang kekal abadi.”
Pernah aku bermimpi aku berlari
ke arah abah sambil menangis sendu. Abah diam membisu sehinggalah dia
membisikkan satu ayat “ Hasbunallah wa nikmal wakil, ni’mal maula wa ni’man
nasir” (Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Dia sebaik-baik pengurus yang
terserah kepadanya ususan kami. Dia sebaik-baik Tuan dan sebaik-baik penolong).
Sehingga ke hari ini aku masih tertanya-tanya apakah maksud mimpi tersebut.
Cukuplah aku ambilnya sebagai teladan.
Ia umpama ubat yang memberikan aku kekuatan kerana abah mengetahui dia tak
mampu berada di sisi aku saat aku memerlukannya. Namun cukuplah Allah sebagai
tempat aku mengadu dan meminta pertolongan. Kepada Allah jua manusia mengadu
dan meminta pertolongan.
Sehingga kini tiada rasa yang mampu aku ungkapkan bila berbicara soal
abah. Apa yang mampu aku katakan He is My Hero. Akhir kata sebagai penutup
warkah kali ini, aku ingin khabarkan padamu yang aku mula menegenai tentang nilai
pengharapan. Usah terlalu meletakkan harapan kepada manusia kerana kelak
bimbang dirimu bakal kecewa. Sebaliknya letakkan pergantungan mutlak pada
Allah. Hanya Allah sahaja yang tidak mengecewakan. Allah tak pernah
mengecewakan hambanya. Maaf andai salah bicara, maaf andai terguris rasa. Ambil
yang jernih buang yang keruh.
Wassalam..
-Aku
anak abah.
-27
April ‘ 14
-2.36
pm
MasyaAllah. smg terus kuat wahai y brnma marinah! sekuat khaulah al azwar, seteguh asiah, sekental khadijah. Allah maha segalanya!
ReplyDelete